KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem permit import (AP) ke atas kenderaan import sepenuhnya (CBU) masih lagi relevan dan perlu dikekalkan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemansuhan AP boleh mendorong kepada pengimportan atau lambakan kenderaan CBU yang tidak mematuhi piawaian teknikal dan membahayakan pengguna kenderaan di jalan raya.

"AP merupakan satu mekanisme pengumpulan data dan maklumat bagi tujuan pengawalseliaan dan penambahbaikan ke atas dasar serta garis panduan semasa berkaitan pembangunan sektor automotif di Malaysia.

"Kenderaan CBU baharu atau terpakai juga tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh MITI, termasuk ekuiti bumiputera dan modal berbayar minimum.

"Mekanisme AP adalah bertujuan untuk membangunkan industri automotif secara inklusif yang merangkumi agenda meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera dalam rantaian bekalan industri automotif," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta penjelasan sebab-sebab kerajaan tidak memansuhkan keperluan AP, mengecualikan segala cukai termasuk duti eksais dan import terhadap semua jenis kenderaan EV termasuk komersial dan motosikal.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, menerusi Belanjawan 2023, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais disediakan terpakai untuk semua jenis EV, termasuk kenderaan komersial dan motosikal elektrik.

Sementara bagi EV yang diimport dalam bentuk CBU, insentif berkenaan terpakai sehingga tahun 2025, manakala bagi EV yang dipasang secara tempatan adalah sehingga 2027.

Beliau menambah, sejak 2011 hingga September tahun ini, bilangan EV yang telah berdaftar mencecah 12,000 unit meliputi jenis kenderaan komersial dan motosikal.

"Bilangan EV berdaftar telah mencecah 3,400 unit pada 2022 dan 7,500 uni sehingga September tahun ini, berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelumnya," jelas Tengku Zafrul.